Monday, 23 December 2013

Cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa



Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa. Bincangkan.

            Pertelingkahan politik dalam negara seperti di Syria, konflik antara kaum yang masih melanda Sri Lanka dan pembunuhan etnik yang  pernah terjadi di Bosnia Herzergovina serta Rwanda memberikan bayangan bahawa keamanan di dunia amat goyah ibarat buih-buih di lautan. Oleh yang demikian, usaha mewujudkan keamanan dunia menjadi agenda perdana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Walau bagaimanapun, setiap negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada badan dunia itu, malah setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk mengekalkan keamanan dalam negara mahupun antarabangsa.
            Tidak boleh dinafikan bahawa perpaduan antara rakyat merupakan kunci keamanan sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Oleh itu, usaha mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat hendaklah dilaksanakan secara serius dan berterusan. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang pernah mencalar sejarah Malaysia membuktikan bahawa ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sangat rapuh. Mainan sentimen perkauman yang keterlaluan ibarat percikan api telah menyemarakan gelombang kebencian antara kaum. Impaknya, peristiwa berkenaan  telah meninggalkan parut walaupun lukanya sudah sembuh kepada mangsanya. Atas dasar tidak mahu pisang berbuah dua kali kerajaan Barisan Nasional telah ditubuhkan bagi membentuk kerjasama pintar antara parti politik yang mewakili setiap kaum. Tegasnya, pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan negara kerana pihak yang kalah menjadi abu tetapi pihak yang menang menjadi arang.
            Pada masa yang sama keamanan sejagat juga mampu diwujudkan dengan cara menjalin hubungan kerjasama antara negara serantau. Impak daripada kerjasama antara negara dapat memupuk persefahaman antara negara serantau ibarat aur dan tebing  Sehubungan itu, Malaysia telah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) di samping menjalin hubungan diplomatik dengan setiap negara di dunia kecuali Israel. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan adalah untuk menjalin kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta membincangkan usaha untuk menyelesaikan konflik antara negara anggota. Intihanya, hubungan baik antara negara mampu menjadikan planet Bumi ini sebagai sebuah petempatan untuk manusia yang aman dan makmur.
            Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk dielakkan apabila masing-masing cuba mengeksploitasi sumber kekayaan yang terdapat di muka bumi ini demi kelangsungan ekonomi negara masing-masing. Apabila keadaan ini terjadi maka meja rundingan ialah platform yang paling ampuh untuk menyelesaikan konflik yang timbul dan bukannya dengan mengangkat senjata. Dalam hal ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah banyak berjasa dalam menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan Pulau Ligitan dan Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura. Tuntasnya, setiap perumitan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak.
            Akhir sekali, keamanan negara mahupun antarabangsa boleh dikekalkan jika layanan yang adil dan saksama diberikan kepada semua pihak. Tamsilannya, di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk memastikan setiap kaum mendapat hak yang adil dan saksama untuk menikmati kemakmuran negara. Begitulah yang seharusnya berlaku di peringkat antarabangsa. Kuasa-kuasa besar dunia sewajarnya memberikan layanan yang adil kepada semua negara tanpa melabelkan negara-negara yang tertentu sebagai sekutu ataupun seteru. Buktinya, peristiwa 11 September 2001 dikatakan berpunca daripada kebencian puak militan terhadap Amerika Syarikat yang bersikap pilih kasih dalam isu-isu antarabangsa yang memberikan keuntungan kepada rakan sekutunya, khususnya Israel. Kempen memerangi keganasan tajaan Amerika Syarikat juga ternyata telah gagal untuk mengekalkan keamanan dunia malah negara ‘Uncle Sam’ itu ibarat tikus membaiki labu apabila keamanan dunia bertambah buruk lantaran polisi pilih bulu pemimpin negara berkenaan. Rumusannya, keadilan dan kesaksamaan layanan antara semua pihak merupakan kunci keamanan sesebuah negara dan buana.
            Deduksinya, prakarsa untuk mewujudkan keamanan dalam negara dan antarabangsa tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Perpaduan dalam kalangan rakyat harus dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, hubungan kerjasama antara negara harus dipererat dan budaya bermusyawarah hendaklah diamalakan untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi, semua pihak harus dilayan secara adil dan saksama untuk mewujudkan keamanan sejagat. Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa planet ini adalah untuk semua makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus memastikan dunia terus makmur dan aman.

Friday, 20 December 2013

Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan Keluarga Bahagia



Peranan Ibu Bapa Melahirkan Keluarga Bahagia 
Hubungan Kekeluargaan yang Erat Amat Penting dalam Melahirkan Keluarga Bahagia.
 

Dalam era dunia tanpa sempadan hari ini, istilah 'Rumahku Syurgaku' kian terhakis dalam pemikiran masyarakat. Istilah itu seolah-olah telah hanyut ditelan zaman kerana masyarakat hari ini lebih menumpukan kepada kerjaya dan berlumba-lumba mengejar kemewahan hidup. Kesan daripada itu, institusi keluarga kian rapuh dan berlaku pelbagai pergolakan dalam keluarga. Untuk mengembalikan kegemilangan keluarga, ibu bapa melaksanakan tanggunjawab dengan cemerlang dan perlu bijak menguruskan masa agar hubungan kekeluargaan dapat diperkukuhkan dan dipertautkan kembali. Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mengeratkan hubungan ahli keluarga akan saya huraikan dalam perenggan berikutnya.



Antara peranan utama ibu bapa untuk mengeratkan hubungan ahli keluarga ialah dengan memperuntukkan masa bersama-sama ahli kelurga. Jika ibu bapa  dapat menjadualkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak dalam tempoh tertentu, anak-anak akan berasa dihargai, diberi perhatian dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa oleh memperuntukkan masa untuk makan bersama-sama, solat berjemaah, mengadakan mesyuarat keluarga atau sebagainya. Denga cara ini, hubungan ahli keluarga akan dapat dipereratkan dan menimbulkan rasa kasih sayang sesama ahli keluarga.



Selain itu, ibu bapa juga perlu bersikap terbuka dengan anak-anak. Ibu bapa perlu memberi kebebasan yang terkawal kepada anak-anak sesuai dengan zaman semasa. Sikap mengongkong kehidupan anak-anak akan membuatkan mereka memberontak dan akan cuba bertindak di luar kawalan ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mencari ruang masa untuk berbincang dan mendengar permasalahan anak-anak agar mereka dapat meluahkan perasaan berkaitan dengan hal peribadi, keperluan hidup dan memberi idea untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia selari dengan peribahasa muafakat membawa berkat. Dalam kesempatan ini juga, ibu bapa boleh memberi teguran tehadap tingkah laku anak-anak yang dianggap tidak sesuai. Jelaslah bahawa bersikap terbuka mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.



Ibu bapa juga perlu merancang untuk membawa anak-anak mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi. Aktiviti riadah dan rekreasi ini umpama serampang dua mata kerana bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan, melepaskan tekanan kerja tetapi juga dapat merapatkan ikatan kekeluargaan. Dalam hal ini, ibu bapa bukan sahaja dapat bersiar-siar, beriadah atau melancong dengan anak-anak tetapi dapat bermesra, bergurau senda dan memahami hati budi anak-anak. Antara aktiviti beriadah yang baik ialah melancong, berkelah, membeli-belah dan sebagainya. Konotasinya, dengan aktiviti beriadah dan berreakrasi dapat memantapkan ikatan kekeluargaan.  



Peranan ibu bapa yang seterusnya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan ialah dengan menyediakan keperluan harian dan pembelajaran anak-anak. Sebagai anak, mereka mendambakan keperluan sepertimana yang diperoleh rakan-rakan mereka. Antara keperluan harian yang diinginkan ialah pakaian, makanan dan hiburan. Sewajarnya ibu bapa memenuhi keperluan tersebut mengikut kemampuan masing-masing supaya anak-anak tidak berasa terasing atau ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Keperluan pembelajaran juga perlu dipenuhi agar anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna sama ada di sekolah atau di rumah. Antara keperluan pembelajaran ialah alat tulis,buku-buku latihan dan bilik belajar yang sempurna. Jika semua keperluan ini dapat dipenuhi, anak-anak akan berasa seronok dan ukhwah keluarga dapat dimantapkan.



Konklusinya, ibu bapa perlulah melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam mendidik anak-anak dengan sempurna agar ikatan kekeluargaan dapat dipereratkan. Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan anak-anak hanya kerana untuk mengejar kemewahan hidup atau kerana mementingkan kerjaya. Anak-anak ibarat kain putih yang suci dan bersih, ibu bapalah yang berhak untuk mencorakkan kehidupan anak-anak, untuk menjadikan mereka itu berguna untuk agama, bangsa dan negara. Kemesraan yang terjalin antara ibu bapa dan anak-anak akan mewujudkan keluarga yang bahagia.