Keamanan
sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara wajar
melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa.
Bincangkan.
Pertelingkahan politik dalam negara seperti di Syria, konflik antara kaum yang
masih melanda Sri Lanka dan pembunuhan etnik yang pernah terjadi di
Bosnia Herzergovina serta Rwanda memberikan bayangan bahawa keamanan di dunia
amat goyah ibarat buih-buih di lautan. Oleh yang demikian, usaha mewujudkan
keamanan dunia menjadi agenda perdana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Walau bagaimanapun, setiap negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada
badan dunia itu, malah setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk
mengekalkan keamanan dalam negara mahupun antarabangsa.
Tidak boleh dinafikan bahawa perpaduan antara rakyat merupakan kunci keamanan
sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang bangsa dan agama seperti
Malaysia. Oleh itu, usaha mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan
rakyat hendaklah dilaksanakan secara serius dan berterusan. Peristiwa hitam 13
Mei 1969 yang pernah mencalar sejarah Malaysia membuktikan bahawa ikatan
perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sangat rapuh. Mainan sentimen
perkauman yang keterlaluan ibarat percikan api telah menyemarakan gelombang
kebencian antara kaum. Impaknya, peristiwa berkenaan telah meninggalkan
parut walaupun lukanya sudah sembuh kepada mangsanya. Atas dasar tidak mahu
pisang berbuah dua kali kerajaan Barisan Nasional telah ditubuhkan bagi
membentuk kerjasama pintar antara parti politik yang mewakili setiap kaum.
Tegasnya, pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan negara
kerana pihak yang kalah menjadi abu tetapi pihak yang menang menjadi arang.
Pada masa yang sama keamanan sejagat juga mampu diwujudkan dengan cara menjalin
hubungan kerjasama antara negara serantau. Impak daripada kerjasama antara
negara dapat memupuk persefahaman antara negara serantau ibarat aur dan
tebing Sehubungan itu, Malaysia telah menganggotai beberapa pertubuhan
antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan
Negara-negara Berkecuali (NAM), dan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam
(OIC) di samping menjalin hubungan diplomatik dengan setiap negara di dunia
kecuali Israel. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan
adalah untuk menjalin kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta
membincangkan usaha untuk menyelesaikan konflik antara negara anggota.
Intihanya, hubungan baik antara negara mampu menjadikan planet Bumi ini sebagai
sebuah petempatan untuk manusia yang aman dan makmur.
Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk dielakkan apabila
masing-masing cuba mengeksploitasi sumber kekayaan yang terdapat di muka bumi
ini demi kelangsungan ekonomi negara masing-masing. Apabila keadaan ini terjadi
maka meja rundingan ialah platform yang paling ampuh untuk menyelesaikan
konflik yang timbul dan bukannya dengan mengangkat senjata. Dalam hal ini,
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah banyak berjasa
dalam menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan Pulau Ligitan
dan Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia
dan Singapura. Tuntasnya, setiap perumitan yang timbul hendaklah diselesaikan
dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak
putus, manakala tepung pula tidak berselerak.
Akhir sekali, keamanan negara mahupun antarabangsa boleh dikekalkan jika
layanan yang adil dan saksama diberikan kepada semua pihak. Tamsilannya, di
Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan
untuk memastikan setiap kaum mendapat hak yang adil dan saksama untuk menikmati
kemakmuran negara. Begitulah yang seharusnya berlaku di peringkat antarabangsa.
Kuasa-kuasa besar dunia sewajarnya memberikan layanan yang adil kepada semua
negara tanpa melabelkan negara-negara yang tertentu sebagai sekutu ataupun
seteru. Buktinya, peristiwa 11 September 2001 dikatakan berpunca daripada
kebencian puak militan terhadap Amerika Syarikat yang bersikap pilih kasih dalam
isu-isu antarabangsa yang memberikan keuntungan kepada rakan sekutunya,
khususnya Israel. Kempen memerangi keganasan tajaan Amerika Syarikat juga
ternyata telah gagal untuk mengekalkan keamanan dunia malah negara ‘Uncle Sam’
itu ibarat tikus membaiki labu apabila keamanan dunia bertambah buruk lantaran
polisi pilih bulu pemimpin negara berkenaan. Rumusannya, keadilan dan
kesaksamaan layanan antara semua pihak merupakan kunci keamanan sesebuah negara
dan buana.
Deduksinya, prakarsa untuk mewujudkan keamanan dalam negara dan antarabangsa
tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Perpaduan dalam kalangan rakyat
harus dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain
itu, hubungan kerjasama antara negara harus dipererat dan budaya bermusyawarah
hendaklah diamalakan untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi,
semua pihak harus dilayan secara adil dan saksama untuk mewujudkan keamanan
sejagat. Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa planet ini adalah untuk semua
makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus memastikan dunia
terus makmur dan aman.
Wow! So high!
ReplyDeleteThnkyou
ReplyDeletelol useless
ReplyDeletelol buatlah sendiri
Deleteanjing tak boleh copy babi
ReplyDeletehttp://toturialuntukblog.blogspot.com/2013/12/cara-untuk-mengekalkan-keamanan-negara.html
DeleteNi dah copy
thank you for this much appreaciated
ReplyDelete