Friday, 20 December 2013

Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Akhlak Anak-anak

Ibu bapa berperanan membentuk akhlak dan menentu kejayaan akademik anak-anak. Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

Pada hari ini, isu membentuk akhlak dan kejayaan akademik anak-anak selalu diperkatakan. Hal ini demikian kerana sejak akhir-akhir ini akhlak remaja semakin membimbangkan dan kejayaan akademik anak-anak pula semakin dititikberatkan. Persoalannya, mengapakah isu sedemikian sering menjadi buah mulut masyarakat? Oleh itu, marilah kita sama-sama membincangkan peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak dan menentukan kejayaan akademik anak-anak.

 Sesungguhnya, peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak adalah memberikan pendidikan agama dan pendidikan moral. Hal ini demikian kerana pendidikan agama dan moral dapat menghalang anak-anak terlibat dalam masalah sosial. Sebagai contohnya, pendidikan agama dan moral banyak menerapkan nilai-nilai murni. Oleh itu, kita dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai akhlak yang baik. Jelaslah, pendidikan agama dan moral memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak anak-anak.

 Seterusnya, peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak adalah memberikan nasihat, teguran, dan tunjuk ajar. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa menegur perbuatan anak-anak yang tidak baik. Oleh itu, ibu bapa dapat membentuk akhlak anak-anak yang terpuji. Benarlah, nasihat, teguran, dan tunjuk ajar oleh ibu bapa dapat membentuk akhlak anak-anak.  

 Selain itu, peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan akademik anak-anak adalah menyediakan keperluan pembelajaran yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa. Sebagai contohnya, ibu bapa menyediakan alat tulis dan buku-buku yang sesuai. Tegasnya, peranan ibu bapa dalam menyediakan keperluan pembelajaran yang sempurna dapat menentukan kejayaan akademik anak-anak.

 Realitinya, peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan akademik anak-anak adalah menghantar anak-anak mengikuti kelas-kelas tuisyen. Hal ini demikian kerana anak-anak akan mendapat ilmu pengetahuan yang lebih kukuh. Sebagai contohnya, anak-anak mengikuti kelas tambahan untuk mata pelajaran yang sukar. Oleh itu, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik. Jelaslah, menghantar anak-anak mengikuti kelas-kelas tuisyen dapat menentukan kejayaan akademik anak-anak.

 Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam membentuk akhlak dan menentu kejayaan akademik anak-anak. Jika tidak, kita akan dipandang rendah oleh masyarakat luar. Semoga kita akan dapat melahirkan rakyat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Namun begitu, ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera. 

No comments:

Post a Comment